Hampir 1,000 Penduduk Kuala Pilah Nikmati Kemudahan Lebih Selesa

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA PILAH, 21 September 2026 (The Capital Post) – Hampir 1,000 penduduk di Kuala Pilah bakal menikmati kemudahan lebih selesa menerusi pembinaan semula Surau Kampung Tebat Kering dan projek menaik taraf Balai Raya Kampung Bukit Temensu/Kampung Tebat Kering.

Menteri Komunikasi, YB Dato’ Seri Fahmi Fadzil merasmikan kedua-dua projek berkenaan hari ini di bawah Inisiatif Kampung Angkat MADANI.

Projek membina semula Surau Kampung Tebat Kering bermula dengan penyerahan tapak pada 27 November 2025 sebelum siap sepenuhnya pada 14 September 2026.

-Advertisement-

Sementara itu, kerja menaik taraf Balai Raya Kampung Bukit Temensu/Kampung Tebat Kering bermula pada 17 Oktober 2025 dan siap sepenuhnya pada 26 Disember 2025.

Kedua-dua kemudahan itu akan menyediakan ruang yang lebih selesa kepada penduduk untuk beribadah, berkumpul, bermuafakat serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Fahmi Fadzil, pelaksanaan projek berkenaan merupakan sebahagian usaha memastikan masyarakat Kuala Pilah terus menikmati kemudahan yang lebih baik. – The Capital Post