17.1 KM Jajaran Redline Pan Borneo Sarawak Dinaik Taraf

Estimate Reading Time: < 1 minute

BINTULU, 21 September 2026 (The Capital Post) – Sebanyak 17.1 kilometer Jajaran Redline di Lebuhraya Pan Borneo Sarawak akan dinaik taraf di sembilan lokasi bagi meningkatkan keselamatan, keselesaan dan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya.

Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi hari ini meninjau lokasi Jajaran Redline Kemena bagi melihat perkembangan pelaksanaan projek berkenaan.

Projek itu melibatkan sembilan lokasi di Lachau, Selangau, Balingian, Kemena, Sebiew dan Tudan, dengan tumpuan diberikan kepada kerja menaik taraf struktur turapan jalan bagi laluan sedia ada yang tidak termasuk dalam pelaksanaan awal Lebuhraya Pan Borneo.

Kira-kira 87 peratus daripada jajaran sedia ada merupakan jalan tunggal dua lorong bertaraf substandard, iaitu Piawaian JKR R5.

Surat Setuju Terima (SST) bagi projek itu telah dikeluarkan kepada DAL-HCM Sdn. Bhd. pada 18 Ogos 2026, manakala milik tapak diserahkan kepada kontraktor pada 17 September.

-Advertisement-

Projek berkenaan mempunyai tempoh pelaksanaan selama 16 bulan dan disasarkan siap pada awal 2028.

Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan memantau kemajuan projek termasuk pematuhan terhadap aspek kualiti, keselamatan dan jadual pelaksanaan.

Turut menyertai lawatan ialah Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Infrastruktur) Sarawak; Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Seri Azman Ibrahim; serta Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak, YBhg. Datu Adj. Prof. Ir. Ts. Gs. Br. PMr. Dr. Cassidy anak Morris.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Kerja Raya Malaysia, projek itu dijangka menyediakan laluan yang lebih selamat dan selesa serta meningkatkan kelancaran perjalanan rakyat Sarawak apabila siap kelak. – The Capital Post