Program MADANI Kita Dekati Komuniti

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 21 September 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperluas akses masyarakat kepada perkhidmatan pendidikan menerusi Program MADANI Kita (PMK) yang dilaksanakan di Johor, Perak dan Pulau Pinang pada 19 dan 20 September.

Program berkenaan berlangsung di Dewan Jubli Intan, Batu Pahat, Johor pada 19 September, sebelum diteruskan di Dewan Perbandaran Gopeng, Perak dan Sekolah Kebangsaan Sungai Ara, Batu Maung, Bayan Baru, Pulau Pinang pada 20 September.

Antara perkhidmatan yang disediakan ialah urusan salinan keputusan peperiksaan, salinan keputusan dan sijil, terjemahan daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris serta tampalan sijil.

-Advertisement-

Masyarakat turut berpeluang mendapatkan khidmat nasihat berkaitan pengurusan sekolah dan murid secara langsung menerusi program berkenaan.

Program anjuran Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) itu merupakan inisiatif turun padang bagi menyelaras penyampaian perkhidmatan secara bersepadu serta memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dengan komuniti setempat.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia, Program MADANI Kita menjadi wadah untuk mendekati komuniti serta memperluas akses kepada perkhidmatan pendidikan. – The Capital Post