DUNGUN 23 September 2026 (The Capital Post) – Teka-teki mengenai kepulangan seekor penyu belimbing ke perairan Terengganu terjawab apabila reptilia berkenaan sekali lagi dikesan mendarat dan bertelur di Pantai Kuala Abang, Dungun semalam, 22 September 2026.
Lebih istimewa, kakitangan Pejabat Perikanan Negeri Terengganu, Mohd Saipulmizam Hamzah bersama pemajak telur kawasan Rantau Abang (Zon B), Mohd Salleh berpeluang menyaksikan sendiri proses penyu berkenaan bertelur sebelum kembali semula ke laut.
Penyu daripada spesies Dermochelys coriacea itu mula bertelur kira-kira jam 2.00 pagi. Haiwan berkenaan yang berukuran 215 sentimeter panjang dan 115 sentimeter lebar dianggarkan kembali ke laut sekitar jam 5.30 pagi selepas selesai proses bertelur.
Sebanyak 70 biji telur berjaya dikumpulkan dan keseluruhannya dipindahkan untuk ditanam di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang pada jam 6.00 pagi bagi menjalani proses pengeraman.
Tindakan pemindahan telur itu dilakukan sebagai langkah pemuliharaan bagi meningkatkan tahap keselamatan serta mengoptimumkan peluang penetasan telur penyu berkenaan.
-Advertisement-
Penyu belimbing tersebut dipercayai berkemungkinan merupakan individu sama yang pernah mendarat di kawasan berkenaan pada 1 dan 13 September lalu.
Menurut pihak berkenaan, terdapat kemungkinan penyu itu akan kembali mendarat bagi pendaratan seterusnya memandangkan seekor penyu betina boleh bertelur sehingga lima kali dalam satu musim bertelur.
Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Pang Anak Nyukang turut merakamkan penghargaan kepada warga perikanan yang terlibat, WWF-Malaysia, Geng Plastik Ija serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terus menyokong usaha Jabatan Perikanan Malaysia dalam memelihara ekosistem pantai dan kelestarian penyu di Terengganu.
Kepulangan penyu belimbing berkenaan sekali lagi menjadi sebahagian daripada usaha berterusan pemuliharaan spesies penyu di Terengganu bagi memastikan khazanah marin negeri itu terus terpelihara – The Capital Post