KUALA LUMPUR 24 September 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat Malaysia memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya yang bakal memulakan kempen pada kejohanan sulung Piala ASEAN FIFA 2026 di Indonesia.
Menerusi hantaran di Facebook pada 23 September 2026, Anwar berkata beliau masih mengingati pengumuman kejohanan berkenaan yang dibuat ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur tahun lalu, ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN.
Menurut beliau, pada ketika itu beliau turut menyaksikan pemeteraian kerjasama antara FIFA dan ASEAN yang membuka laluan kepada penganjuran kejohanan tersebut.
Anwar berkata Harimau Malaya akan memulakan saingan menentang Bangladesh pada Jumaat, 25 September, sebelum berdepan dua negara jiran, Indonesia dan Singapura dalam aksi Kumpulan A.
Malaysia akan bertemu Bangladesh di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, pada 25 September sebelum menentang Indonesia pada 28 September dan Singapura pada 1 Oktober.
-Advertisement-
Beliau turut mengajak rakyat Malaysia memberikan sokongan kepada pasukan negara yang membawa cabaran Malaysia pada kejohanan berkenaan, selain mendoakan agar skuad Harimau Malaya mampu mencatat kejayaan.
Piala ASEAN FIFA 2026 merupakan edisi sulung kejohanan berkenaan yang menghimpunkan pasukan dari rantau Asia Tenggara serta beberapa pasukan jemputan, dengan Divisyen 1 berlangsung di Indonesia.
Anwar berharap perjuangan skuad negara pada kejohanan tersebut dapat membuahkan kejayaan dan membawa kegembiraan kepada rakyat Malaysia – The Capital Post