HANGZHOU 24 September 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim mengadakan beberapa pertemuan bersama pengurusan kanan lima syarikat gergasi industri China bagi meneroka peluang pelaburan baharu serta kerjasama strategik dalam sektor berimpak tinggi.
Lima syarikat berkenaan ialah AgiBot Innovation, ZTE Corporation, Alibaba Group, Geely Automobile Holdings dan Huawei Technologies, dengan perbincangan meliputi bidang robotik humanoid, infrastruktur digital, kecerdasan buatan (AI), teknologi kenderaan elektrik (EV) serta e-dagang.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata AgiBot Innovation menyatakan komitmen potensi pelaburan bernilai RM1 bilion di Malaysia menjelang 2035, yang berpotensi mewujudkan sebanyak 5,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Sementara itu, ZTE Corporation turut menggariskan inisiatif serta pelaburan bernilai RM170 juta bagi menyokong transformasi digital Malaysia, selain membuka lebih banyak peluang kerjaya berkualiti untuk tenaga kerja tempatan.
-Advertisement-
Dalam pertemuan bersama Alibaba Group pula, Anwar berkata usaha memperluas akses pasaran bagi produk Malaysia, khususnya keluaran Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta industri halal negara, ke pasaran China dan global melalui ekosistem digital syarikat berkenaan turut dibincangkan.
Menurut beliau, Kerajaan MADANI kekal komited untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi, memperkasa bakat tempatan dan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran sebagai sebahagian usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi serta manfaat kepada rakyat dan negara.
Pertemuan berkenaan berlangsung ketika Perdana Menteri berada di China bagi lawatan kerja ke Shanghai dan Hangzhou, dengan agenda turut memberi tumpuan kepada pengukuhan hubungan ekonomi serta kerjasama teknologi antara Malaysia dan China. – The Capital Post