SEREMBAN 25 SEPTEMBER 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus memperkukuh pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kalangan pelajar menerusi Program STEM Camp MOSTI 2026 yang berlangsung semalam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban Jaya 2, Negeri Sembilan.
Program tersebut dianjurkan Pusat Pengajian Kimia dan Alam Sekitar bersama Kelab Kimia (Al-Chemist), Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Kuala Pilah dengan kerjasama Jabatan Kimia Malaysia, Pusat Penyelidikan dan Analisis Air (ALIR) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Duopharma Manufacturing (Bangi) Sdn. Bhd.
Program berkenaan dirasmikan Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI, MOSTI, Puan Nani Rahayu Sudin.
Turut hadir Ketua Unit Audit Dalam MOSTI, Puan Maizatul Khairumie Mansorudin; Pengetua SMK Seremban Jaya 2, Tn. Hj. Mohamad Zaini Khalid; Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Ts. Dr. Aslizah Mohd Aris serta Ketua Pusat Pengajian, Fakulti Sains Gunaan UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Dr. Wan Syazehan Ruznan.
Program itu menghimpunkan 100 pelajar daripada 12 sekolah di seluruh Negeri Sembilan bagi memberi peluang kepada peserta meneroka potensi diri dalam bidang sains menerusi pendekatan pembelajaran yang lebih interaktif dan berasaskan pengalaman.
-Advertisement-
Antara sekolah yang mengambil bahagian ialah SMK Seremban Jaya 2, SMK Bukit Saujana, SMK Chan Wa II, SMK Dato’ Klana Putra, SMK Dato’ Sedia Raja, SMK Desa Cempaka, SMK Intan Perdana, SMK Jelai Felda, SMK Senawang, SMK Seremban Jaya, SMK Seri Pagi dan SMK Tunku Kurshiah.
Sepanjang program, para peserta didedahkan kepada eksperimen kimia secara hands-on menerusi tiga modul utama, iaitu Chromatic Detectives – Reverse Separation Lab, Buih & Batu Kapur – Rahsia Hujan Asid serta Plant Pigment as Indicators – Watch Metals Change Colors.
Pendekatan amali dan interaktif tersebut memberi ruang kepada pelajar memahami konsep kimia dengan lebih dekat, di samping menggalakkan mereka meneroka kaedah penyelesaian masalah serta mengembangkan minat terhadap bidang sains.
Penganjuran STEM Camp MOSTI 2026 turut mencerminkan usaha berterusan kementerian dalam memperluas pembudayaan STI dengan menyediakan pendedahan awal kepada generasi muda untuk membina pemikiran kreatif, inovatif dan berdaya saing sebagai peneraju teknologi serta inovasi pada masa hadapan. – The Capital Post