Fadhlina: Matriks Pembelajaran Tahun 4 Perlu Disusuli Intervensi Segera

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 26 September 2026 (The Capital Post) – Menteri Pendidikan, YB Datuk Seri Fadhlina Sidek menegaskan bahawa pelaksanaan Matriks Pembelajaran Tahun 4 perlu menjadi asas kepada usaha mengenal pasti jurang pembelajaran murid dan melaksanakan intervensi dengan segera.

Menerusi hantaran di Facebook, Fadhlina berkata cabaran utama dalam sistem pendidikan yang melibatkan jutaan murid adalah memastikan murid yang memerlukan bantuan dapat dikenal pasti lebih awal supaya sokongan yang bersesuaian dapat diberikan.

Beliau berkata perkara itu antara penekanan yang disampaikan ketika bersama warga Kementerian Pendidikan dalam Perhimpunan Bulanan September, khususnya berkaitan persediaan menghadapi pelaksanaan Matriks Pembelajaran Tahun 4.

Menurut Fadhlina, matriks berkenaan bukan bertujuan mewujudkan satu lagi peperiksaan untuk murid, sebaliknya membantu melihat tahap penguasaan mereka serta mengenal pasti jurang pembelajaran yang masih memerlukan perhatian.

Maklumat yang diperoleh kemudiannya perlu dimanfaatkan oleh pihak sekolah untuk memahami keadaan pembelajaran murid dengan lebih baik, manakala guru dapat menyesuaikan kaedah pengajaran berdasarkan keperluan setiap murid. Pendekatan itu selari dengan matlamat matriks sebagai mekanisme untuk menyokong intervensi awal dan pengukuhan pembelajaran.

-Advertisement-

Fadhlina memberikan contoh sekiranya seorang murid masih menghadapi kesukaran dalam mata pelajaran Sains, tindakan tidak seharusnya terhenti selepas kelemahan tersebut dikenal pasti, sebaliknya sekolah perlu meneliti perkara yang belum difahami murid dan melaksanakan intervensi yang bersesuaian.

Sekiranya pendekatan pertama tidak memberikan hasil yang diharapkan, pendekatan lain perlu diteroka dengan memanfaatkan data sebagai panduan membuat keputusan, bukan sekadar memenuhi keperluan pelaporan.

Beliau menegaskan bahawa ukuran sebenar kejayaan Matriks Pembelajaran Tahun 4 bukan terletak pada jumlah data yang dikumpulkan, tetapi sejauh mana maklumat tersebut dapat membantu lebih ramai murid melalui intervensi yang berkesan – The Capital Post