ULU TIRAM 27 September 2026 (The Capital Post) – Bahagian kepala sebuah lori treler terbakar dalam kejadian berhampiran Pusat Badminton Taman Intan, Ulu Tiram, petang semalam, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 6.54 petang sebelum Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari PBS Ulu Tiram digerakkan ke lokasi dengan bantuan anggota serta jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya.
Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 7.03 malam dan pemeriksaan awal mengesahkan kebakaran melibatkan bahagian kepala lori treler berkenaan.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran hos reel daripada jentera Fire Rescue Tender (FRT) BBP Ulu Tiram yang difokuskan pada bahagian kenderaan terbabit.
-Advertisement-
Selepas api berjaya dipadamkan, pasukan operasi menjalankan pemantauan bagi memastikan tiada risiko kebakaran berulang sebelum operasi ditamatkan secara rasmi pada jam 7.40 malam.
Kes berkenaan kemudiannya diserahkan kepada BBP Johor Jaya untuk tindakan lanjut, manakala siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian dijalankan oleh Pegawai Penyiasat Kebakaran JBPM – The Capital Post