Remaja Cedera Tangan Tersepit Mesin Pengisar Daging di Ipoh

Estimate Reading Time: < 1 minute

IPOH 27 September 2026 (The Capital Post) – Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun mengalami kecederaan selepas tangan kanannya tersepit di dalam mesin pengisar daging di sebuah kilang ayam di Kawasan Perindustrian Ringan Bercham 10, Ipoh, semalam.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum menggerakkan lapan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh ke lokasi kejadian pada jam 4.48 petang.

Ketua Operasi, PBK I Muzaidi bin Mohamad berkata, pasukan penyelamat terlebih dahulu melakukan penilaian situasi sebelum menggunakan pendekatan SAVER serta peralatan khas Cutter Spreader untuk merenggangkan komponen mesin bagi membebaskan tangan mangsa.

Sepanjang operasi dijalankan, pasukan perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut memberikan rawatan kepada mangsa serta membantu mengawal kesakitannya.

-Advertisement-

Bagaimanapun, tangan mangsa tidak dapat dikeluarkan sepenuhnya di lokasi kejadian berikutan struktur acuan mata pengisar yang diperbuat daripada keluli tahan karat, selain keadaan kesihatan mangsa yang dilaporkan semakin merosot.

Susulan perbincangan dengan pihak KKM, mangsa dibawa terus ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh bagi membolehkan prosedur pemotongan mesin dan rawatan lanjut dilakukan di dewan bedah.

Operasi pemotongan komponen keluli serta usaha menyelamat itu selesai sepenuhnya sebelum ditamatkan secara rasmi pada jam 6.30 petang – The Capital Post