Edu Soul Labuan Perkukuh Rohani Pelajar Asnaf

Estimate Reading Time: < 1 minute

LABUAN 28 September 2026 (The Capital Post) – Program Edu Soul @ Labuan anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Cawangan Labuan dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat MAIWP meneruskan pengisian pembangunan rohani bagi memperkukuh sahsiah pelajar asnaf sekolah menengah di Wilayah Persekutuan Labuan.

Pengisian pada sesi petang itu berlangsung di Auditorium Ibnu Sina, Masjid Jamek An-Nur sebagai kesinambungan kepada program motivasi yang diadakan pada sebelah pagi.

Program berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan pelajar secara menyeluruh dengan mengimbangi aspek intelek dan spiritual, khususnya dalam membentuk jati diri serta nilai murni dalam kalangan pelajar asnaf.

Menerusi Slot 3 bertajuk Pemantapan Solat, peserta mengikuti perkongsian yang disampaikan oleh Bilal Masjid Jamek Layang-Layangan, Ustaz Muhammad Nur Izzat bin Roshidi.

-Advertisement-

Sesi tersebut menekankan kepentingan memahami dan menyempurnakan ibadah solat, termasuk penghayatan rukun serta pembentukan kekhusyukan ketika menunaikannya.

Para peserta turut dibimbing untuk memahami peranan solat sebagai asas kekuatan rohani dan benteng diri dalam menghadapi cabaran sepanjang persekolahan serta kehidupan seharian.

Melalui pengisian tersebut, Edu Soul @ Labuan diharap dapat membantu membentuk pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai pegangan agama, sahsiah terpuji dan kekuatan spiritual yang kukuh – The Capital Post