ISKANDAR PUTERI 29 September 2026 (The Capital Post) – Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia hari ini menyerahkan Projek Kompleks Mahkamah Baharu Johor Bahru di Kota Iskandar kepada pihak berkaitan dalam satu majlis yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said.
Majlis tersebut turut disaksikan Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi serta Ketua Pengarah Kerja Raya, Dato’ Ir. Ibrahim Esa, bersama pegawai kanan daripada Jabatan Perdana Menteri dan JKR Malaysia.
Kompleks yang dibangunkan di atas tapak seluas 17 ekar itu memulakan projek dengan penyerahan tapak pada 8 Februari 2023 dan berjaya disiapkan dalam tempoh kontrak yang ditetapkan.
Dari segi reka bentuk, bangunan berkenaan menggabungkan elemen seni bina tradisional Melayu dan vernakular pada fasad serta hiasan dalamannya. Identiti negeri Johor turut diketengahkan melalui motif gambir dan lada hitam yang diterapkan dalam reka bentuk kerawang.
Projek yang dilaksanakan oleh kontraktor utama, Cahaya Jauhar Sdn. Bhd. itu menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dengan pencapaian skor melebihi 70 peratus.
-Advertisement-
Kompleks berkenaan dilengkapi 24 bilik bicara yang merangkumi sebuah Mahkamah Khas, tujuh Mahkamah Tinggi, lapan Mahkamah Sesyen dan lapan Mahkamah Majistret. Kemudahan lain termasuk kamar hakim, pejabat pentadbiran dan kewangan, auditorium, perpustakaan, ruang tahanan sementara Orang Kena Tuduh (OKT), surau, tadika, kafeteria serta dewan serbaguna yang mampu menampung 300 orang.
Selain itu, kompleks tersebut menyediakan 319 lot parkir kereta termasuk kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU) dan kenderaan elektrik (EV), serta 65 lot parkir motosikal.
Pembangunan kompleks baharu ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan menyediakan prasarana kehakiman yang lebih kondusif bagi menyokong kelancaran urusan mahkamah serta meningkatkan kemudahan kepada pengguna.
Selepas penyerahan projek, kontraktor akan terus bertanggungjawab sepanjang Tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP), manakala JKR Malaysia akan memantau urusan pasca penyerahan bagi memastikan sebarang kecacatan ditangani mengikut ketetapan yang berkuat kuasa – The Capital Post