JPNT Teroka Kerjasama Penganjuran ISMG Tahun Hadapan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA TERENGGANU 29 September 2026 (The Capital Post) – Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) meneroka peluang kerjasama bagi penganjuran International Scooterian Mega Gathering (ISMG) tahun hadapan menerusi kunjungan hormat Pengarah Program ISMG, Wan Mohd Zulhafeeza bin Wan Mohd Yusof kepada Pengarah JPNT, Dato’ Tengku Mohd Arifin bin Tengku A. Rahman, semalam.

Pertemuan yang berlangsung di pejabat Pengarah JPNT itu bertujuan mengeratkan hubungan antara kedua-dua pihak serta membincangkan potensi kerjasama dalam menjayakan penganjuran program berkenaan.

ISMG memberi tumpuan kepada komuniti permotoran yang berpotensi menjadi salah satu medium untuk mempromosikan destinasi pelancongan Terengganu, di samping merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

-Advertisement-

Perbincangan tersebut turut membuka ruang kepada pertukaran pandangan mengenai usaha memperkukuh sektor pelancongan negeri melalui penganjuran acara yang mampu menarik penyertaan pengunjung dari dalam dan luar Terengganu.

Kerjasama yang dirancang diharap dapat memperluas promosi pelancongan negeri serta memberi manfaat kepada komuniti dan sektor ekonomi tempatan menerusi penganjuran program yang bersesuaian – The Capital Post