Fasa Pertama Penghantaran Pulang 1,476 Tahanan Myanmar Bermula

Estimate Reading Time: < 1 minute

LUMUT 30 September 2026 (The Capital Post) – Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaksanakan fasa pertama Program Penghantaran Pulang Tahanan Warganegara Myanmar yang melibatkan seramai 1,476 individu menerusi laluan laut, semalam.

Operasi penghantaran pulang itu menggunakan tiga buah kapal Tentera Laut Republik Kesatuan Myanmar, termasuk sebuah kapal hospital, hasil penyelarasan antara KDN, JIM serta kementerian dan agensi berkaitan.

Program berkenaan dilaksanakan susulan persetujuan antara kerajaan Malaysia dan Myanmar untuk menguruskan penghantaran pulang secara berperingkat melibatkan keseluruhan 5,000 tahanan warganegara Myanmar.

Pelaksanaan program secara tersusun itu bertujuan menangani isu migrasi tidak teratur serta pendatang asing tanpa izin (PATI), di samping memastikan aspek keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara terus terpelihara.

-Advertisement-

Dalam masa yang sama, proses penghantaran pulang dilaksanakan dengan mengambil kira aspek kemanusiaan yang sewajarnya bagi memastikan pengurusan tahanan dilakukan secara selamat dan bertanggungjawab.

Antara agensi yang terlibat dalam operasi tersebut ialah Kementerian Luar Negeri, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pertahanan dan Tentera Laut Diraja Malaysia. Setiap agensi memainkan peranan masing-masing berdasarkan bidang kuasa, termasuk dalam aspek keselamatan, logistik dan keperluan operasi.

Kerjasama antara agensi ini mencerminkan pendekatan bersepadu kerajaan dalam melaksanakan program penghantaran pulang berkenaan, selaras dengan usaha mengurus isu migrasi serta memelihara kepentingan dan keselamatan negara – The Capital Post