Lelaki Maut Dalam Kemalangan Pacuan Empat Roda dan Lori Tangki di Simunjan

Estimate Reading Time: < 1 minute

Lelaki Maut Dalam Kemalangan Pacuan Empat Roda dan Lori Tangki di Simunjan

SIMUNJAN 30 September 2026 (The Capital Post) – Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya bertembung dengan sebuah lori tangki minyak di Simpang Punda Simunjan, Jalan Simunjan, petang semalam.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.45 petang.

Susulan laporan tersebut, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan diketuai Komander Operasi, PBK II Hipni Udai, digerakkan ke lokasi bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan kenderaan utiliti. Perjalanan ke lokasi mengambil masa kira-kira sejam.

Setibanya di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan lori tangki minyak, manakala mangsa masih terperangkap di dalam kenderaan yang dinaikinya.

-Advertisement-

Pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia.

Pasukan bomba kemudian mengeluarkan mangsa menggunakan pengusung khas sebelum menyerahkan mayat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut, termasuk proses bedah siasat.

Siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan sedang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM – The Capital Post