TAWAU 30 September 2026 (The Capital Post) – Seramai 87 tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Indonesia dipindahkan ke negara asal menerusi program pemindahan tahanan melalui laut bagi tahun 2026 yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah.
Pemindahan dari Depot Imigresen Tawau itu dilakukan melalui Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia dengan menggunakan perkhidmatan feri komersial.
Daripada jumlah berkenaan, seramai 56 orang merupakan lelaki dewasa, 17 perempuan dewasa, lapan kanak-kanak lelaki dan enam kanak-kanak perempuan. Mereka berumur antara satu bulan hingga 66 tahun, manakala kanak-kanak yang terlibat diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing.
Sebelum itu, pada 26 September 2026, Depot Imigresen Tawau turut melaksanakan pemindahan tujuh tahanan PATI ke negara asal melalui Lapangan Terbang Tawau dengan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Mereka terdiri daripada lima lelaki dewasa warganegara Pakistan yang dihantar ke Karachi dan Lahore, seorang lelaki dewasa warganegara India ke New Delhi serta seorang wanita dewasa warganegara Filipina ke Manila.
-Advertisement-
Menurut JIM Sabah, sehingga kini seramai 5,399 tahanan PATI daripada pelbagai negara telah dipindahkan ke negara masing-masing. Jumlah itu merangkumi 1,575 warganegara Indonesia, 3,527 warganegara Filipina, 125 warganegara Pakistan, 128 warganegara China, 21 warganegara Vietnam dan 23 orang daripada negara lain.
Kesemua tahanan yang dipindahkan telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta memiliki Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) atau dokumen perjalanan sah yang diperlukan bagi melengkapkan proses pemindahan.
Dalam pada itu, JIM Sabah menggesa orang ramai supaya meningkatkan kepekaan terhadap kegiatan PATI di kawasan komuniti masing-masing serta tidak melindungi atau menggaji individu yang berada di negara ini tanpa kebenaran. Sebarang maklumat berkaitan kegiatan berkenaan boleh disalurkan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di https://spab.gov.my atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) di https://eapp.imi.gov.my – The Capital Post