PUTRAJAYA 30 September 2026 (The Capital Post) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menganjurkan Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) Peringkat KPDN Tahun 2026 bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kementerian.
Majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat KPDN, Putrajaya pada 29 September itu dirasmikan oleh Ketua Setiausaha KPDN, Dato’ Seri Mohd Sayuthi bin Bakar, di Anjung Kasih kementerian berkenaan.
BMSS merupakan inisiatif di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang diterajui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Inisiatif tersebut bertujuan membudayakan kehidupan sihat dalam kalangan rakyat menerusi pendekatan menyeluruh yang melibatkan pelbagai pihak.
Pelaksanaan BMSS turut menjadi salah satu elemen dalam Scorecard Inisiatif Penjawat Awam Sihat Sejahtera (iPASS), yang memberi penekanan terhadap kesejahteraan dan tahap kesihatan penjawat awam.
Sambutan peringkat KPDN itu berlangsung selama tiga hari, bermula 29 September hingga 1 Oktober 2026, dengan pelbagai aktiviti berkaitan kesihatan dan kecergasan disediakan khusus untuk warga kementerian.
-Advertisement-
Antara aktiviti yang dianjurkan termasuk saringan kesihatan, pemeriksaan pergigian dan mata, pemeriksaan kesihatan wanita serta ujian kecergasan. Program itu turut menyediakan pameran, reruai kesihatan dan khidmat nasihat bagi membolehkan peserta mendapatkan maklumat berkaitan penjagaan kesihatan secara langsung.
Penganjuran program berkenaan turut mendapat sokongan rakan strategik yang menyumbang kepada penyediaan perkhidmatan pemeriksaan, saringan, pameran dan khidmat nasihat kesihatan sepanjang tempoh pelaksanaannya.
Usaha tersebut mencerminkan komitmen KPDN dalam menyokong agenda pembudayaan gaya hidup sihat serta menggalakkan warga kementerian mengutamakan penjagaan kesihatan dan kecergasan dalam kehidupan seharian – The Capital Post