KLUANG 1 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Ekonomi meluluskan penambahan peruntukan sebanyak RM5 juta, menjadikan jumlah keseluruhan RM127 juta bagi Projek Pembaikan dan Penyelenggaraan Kuarters dan Balai Polis di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Rolling Plan Pertama (RP1) 2026.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Haji Mohd Nasir, meninjau keadaan kemudahan serta keperluan pembaikan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan Taman Perumahan Polis Jalan Padang Tembak pada 28 September lalu sempena lawatan rasmi beliau ke Johor.
Penambahan peruntukan itu dibuat melalui mekanisme Notice of Change (NOC) selepas mengambil kira keperluan mendesak untuk menaik taraf dan menyelenggara kemudahan yang digunakan oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Daripada jumlah keseluruhan tersebut, sebanyak RM3.7 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja di Kluang, termasuk penambahbaikan 10 blok kuarters serta pembaikan premis PDRM di bawah pentadbiran IPD Kluang.
-Advertisement-
Inisiatif itu bertujuan memastikan kemudahan dan aset kerajaan berada dalam keadaan baik, sekali gus menyediakan persekitaran yang lebih sesuai untuk anggota polis menjalankan tugas serta menyokong penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Kementerian Ekonomi turut menegaskan komitmen untuk memperkukuh pengurusan aset awam secara bersepadu, berasaskan data dan berorientasikan prestasi bagi memastikan peruntukan pembangunan digunakan secara optimum serta memberikan nilai terbaik sepanjang hayat aset – The Capital Post