MOSTI Nilai 31 Inovasi Berpotensi Dikomersialkan Menerusi Sesi Due Diligence MCY

Estimate Reading Time: < 1 minute

CYBERJAYA 1 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) meneruskan usaha memperkukuh ekosistem pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan menerusi Sesi Penilaian Upaya (Due Diligence) Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) Siri 4/2026.

Sesi yang berlangsung selama dua hari pada 29 dan 30 September 2026 itu diadakan di Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), Cyberjaya, dengan penyertaan syarikat, universiti dan agensi yang mengetengahkan pelbagai hasil inovasi.

Sebanyak 31 produk, teknologi dan perkhidmatan dibentangkan untuk dinilai berdasarkan potensi pengkomersialan serta kesediaannya untuk diperluaskan ke peringkat pasaran.

Turut hadir Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Reformasi Sektor Awam (BRSA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Ahmad Najme bin Muhammad, bagi memantau hala tuju inovasi sektor awam, khususnya dalam menyokong usaha memperkukuh pengkomersialan hasil R&D, komersial dan inovasi (R&D&C&I).

-Advertisement-

Antara fokus utama sesi penilaian adalah menentukan tahap kesediaan teknologi atau Technology Readiness Level (TRL), selain mengenal pasti bentuk intervensi, fasilitasi dan sokongan strategik yang diperlukan oleh setiap inovasi.

Sesi berkenaan turut menjadi platform bagi menyaring produk yang berpotensi untuk dipertimbangkan sebagai calon KPI Khas MCY dan penerima Anugerah MCY, yang menawarkan nilai hadiah keseluruhan sebanyak RM1 juta.

MOSTI menerusi inisiatif berkenaan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh keupayaan teknologi tempatan agar hasil inovasi negara dapat dikembangkan secara lebih berdaya saing di peringkat serantau dan global, sekali gus menyokong agenda pembangunan serta kesejahteraan negara – The Capital Post