KUALA LUMPUR 1 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan inisiatif “Mai Kurang Gula, Garam dan Kalori” menerusi penggunaan mesin layan diri sebagai projek rintis bagi menyediakan akses kepada pilihan makanan lebih sihat di tempat kerja.
Inisiatif tersebut dilancarkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, dan dirancang untuk diperluaskan ke 19 fasiliti KKM yang telah dikenal pasti.
Sesi libat urus bersama Bahagian Perkembangan Perubatan serta Program Kualiti dan Keselamatan Makanan turut dijalankan bagi memastikan pelaksanaan inisiatif berkenaan memenuhi aspek kualiti dan prosedur yang ditetapkan.
Program “Mai Kurang Gula, Garam dan Kalori” merupakan sebahagian daripada kerjasama awam-swasta antara Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dengan Bahagian Kawalan Penyakit (BKP), KKM. Program “Mai Kurang” mula diperkenalkan pada 25 April 2026 sebagai usaha menggalakkan amalan pemakanan lebih sihat.
-Advertisement-
Antara matlamat utama inisiatif tersebut adalah membudayakan pemakanan sihat melalui pengurangan pengambilan gula, garam dan kalori, selaras dengan usaha pencegahan serta kawalan penyakit tidak berjangkit (NCD).
Sebagai langkah awal, program berkenaan menyediakan resipi dan pilihan hidangan yang memenuhi kriteria pemakanan tertentu, iaitu tidak melebihi 12.5 gram gula, 600 miligram garam dan 500 kilokalori bagi setiap hidangan.
Turut hadir Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam bin Haji Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKM, Noor Afifah binti Abdul Razak; Pengarah Pematuhan dan Pembangunan Industri, Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM), Ts. Mahamad Sukor bin Senapi; Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Dr. Noraryana binti Hassan; serta Pengarah Urusan NCSM, Kolonel Bersekutu (PA) Prof. Dr. Muralitharan Munisamy – The Capital Post