Pelajar Antarabangsa UMPSA Raih Kejayaan di MAGNET 2026

Estimate Reading Time: < 1 minute

NILAI 2 Oktober 2026 (The Capital Post) – Seramai 36 pelajar antarabangsa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyertai program Meet and Greet with International Students in Malaysia (MAGNET) 2026 yang berlangsung di INTI International University, Nilai, Negeri Sembilan, dari 30 September hingga 1 Oktober lalu.

Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu menghimpunkan pelajar antarabangsa daripada pelbagai institusi pendidikan tinggi di Malaysia menerusi aktiviti silang budaya, permainan tradisional, pameran dan jaringan antarabangsa.

Penyertaan tersebut membuahkan beberapa pencapaian membanggakan apabila wakil UMPSA berjaya meraih kedudukan dalam pelbagai pertandingan permainan tradisional yang dianjurkan sepanjang program.

Utami Meilia Ayu dari Indonesia, yang mewakili Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), muncul juara pertandingan congkak. Sementara itu, Md Shaekh Forid dari Bangladesh, wakil Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), memperoleh tempat kedua dalam pertandingan dam harimau.

Pasukan UMPSA yang dianggotai Sumaya Hossain Arni, Mir Zubayer Mahmood, Tanzim Talha, Money Barima dan Abu Darda Jubaer, kesemuanya dari Bangladesh, turut meraih naib juara dalam pertandingan tating lawi.

-Advertisement-

Selain itu, Najmul Haque dari Bangladesh, wakil Fakulti Komputeran (FK), mendapat tempat kedua dalam pertandingan batu seremban, manakala pasukan UMPSA turut menduduki tempat keempat dalam pertandingan boling kelapa.

Pencapaian tersebut memperlihatkan penglibatan aktif pelajar antarabangsa UMPSA dalam aktiviti kebudayaan, sekali gus memberi peluang kepada mereka mengenali dan menghayati permainan tradisional serta warisan tempatan di samping membina hubungan dengan pelajar dari institusi lain.

Kejayaan itu turut mengharumkan nama UMPSA di peringkat kebangsaan dan diharap dapat menyemarakkan semangat pelajar untuk terus melibatkan diri dalam program silang budaya serta aktiviti yang mengukuhkan jaringan antarabangsa – The Capital Post