JASIN 2 Oktober 2026 (The Capital Post) – Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Perak, Jasin, menerima kemudahan makmal sains tulen baharu menerusi projek penambahbaikan infrastruktur pendidikan yang diserahkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka kepada Kementerian Pendidikan (KPM).
Majlis Penyerahan Perdana Projek Siap itu disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, YB Datuk Seri Fadhlina Sidek, bersama Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan, pada pagi 2 Oktober 2026.
Projek berkenaan merangkumi penyediaan tiga makmal sains tulen, iaitu Makmal Kimia, Makmal Biologi dan Makmal Fizik, selain dua bilik persediaan serta sebuah bilik utiliti atau sektor peralatan yang dilengkapi perabot dan kelengkapan berkaitan.
Kemudahan baharu itu dijangka memberi manfaat kepada enam kelas murid aliran Sains Tulen dengan menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, moden dan selamat. Penyediaan prasarana tersebut turut menyokong usaha memperkukuh pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di sekolah berkenaan.
Inisiatif ini selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang menekankan kepentingan prasarana berkualiti bagi memastikan murid mendapat akses kepada persekitaran pembelajaran yang menyokong perkembangan potensi secara menyeluruh.
-Advertisement-
Bahagian Pendidikan Islam KPM turut menzahirkan komitmen untuk terus memperkasa sekolah agama melalui penyediaan kemudahan yang berkualiti, relevan dan memenuhi keperluan pendidikan semasa.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Dr. Mohd Azam bin Ahmad; Pengarah Bahagian Pendidikan Islam KPM, YBrs. Tuan Haji Omar bin Salleh; Timbalan Setiausaha Bahagian Kanan, Bahagian Pembangunan KPM, YBrs. Puan Nik Noraini Nik Ya; Pengarah JKR Negeri Melaka, YBhg. Datuk Ir. Mohamad Salzeli bin Moktar; serta Pengarah Pendidikan Negeri Melaka, YBrs. Puan Hajah Mahfudzah binti Mohamed Noor, bersama wakil jabatan, agensi, kontraktor dan perunding.
Kemudahan tersebut diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing, selain menyokong kecemerlangan pendidikan Islam dan STEM di SMKA Tun Perak – The Capital Post