KUALA LINGGI 2 Oktober 2026 (The Capital Post) – Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan (IPMNMNS) menganjurkan Majlis Apresiasi “Jasamu Dikenang, Budimu Dijulang” semalam bagi menghargai jasa serta sumbangan pegawai dan anggota yang akan bertukar keluar daripada organisasi berkenaan.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin bin Zakaria, dengan kehadiran Timbalan Pengarah Operasi, Komander Maritim Norrimi bin Hassan, Timbalan Pengarah Pengurusan, Raja Norazmi bin Raja Ismail, serta pegawai dan anggota IPMNMNS.
Acara dimulakan dengan bacaan doa dan tayangan montaj khas yang memaparkan kenangan serta sumbangan warga kerja sepanjang tempoh perkhidmatan mereka di IPMNMNS.
Majlis turut menyaksikan penyampaian cenderamata sebagai tanda penghargaan atas komitmen, dedikasi dan khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh anggota yang diraikan sepanjang berkhidmat di organisasi tersebut.
-Advertisement-
Selain itu, acara serah terima tugas bagi aset operasi turut berlangsung dengan disaksikan oleh Pengarah Maritim Negeri. Serah terima Bot Benteng 04 dilaksanakan daripada BK (M) Ismarizal bin Ismail kepada BK (M) Erman bin Mahrilar, manakala Bot Perkasa 37 diserahkan daripada BM (M) Mohamad Khairi bin Zaidi kepada BK (M) Mohd Ridzuan bin Rozhady.
Penganjuran majlis ini mencerminkan penghargaan IPMNMNS terhadap jasa dan komitmen pegawai serta anggota yang telah berkhidmat, di samping memastikan kesinambungan amanah dan tanggungjawab dalam pengoperasian aset maritim terus berjalan dengan lancar mengikut ketetapan yang ditetapkan.
IPMNMNS turut merakamkan ucapan selamat bertugas di tempat baharu kepada semua pegawai dan anggota yang diraikan, dengan harapan mereka terus memberikan khidmat terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing – The Capital Post