KUALA LUMPUR 3 Oktober 2026 (The Capital Post) – Jabatan Penjara Malaysia terus memperkukuh usaha pemulihan dalam komuniti menerusi Corporate Smart Internship (CSI), yang menyediakan latihan kemahiran serta peluang pekerjaan kepada Prospek Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) selepas mereka kembali menjalani kehidupan bersama masyarakat.
Melalui kerjasama dengan pihak industri, program tersebut memberi ruang kepada individu yang melalui proses pemulihan untuk mendapatkan pekerjaan, memperoleh pendapatan secara sah dan kembali menyumbang kepada komuniti.
Inisiatif itu pada masa sama memberi manfaat kepada majikan menerusi penyediaan tenaga kerja tempatan yang telah menerima latihan, selain dibentuk dengan nilai disiplin dan kesediaan untuk memasuki alam pekerjaan.
Usaha memperluas penyertaan tenaga kerja tempatan turut dilihat berpotensi membantu mengurangkan kebergantungan industri terhadap pekerja asing secara berperingkat apabila sebahagian keperluan tenaga kerja dapat dipenuhi melalui sumber tempatan.
Pendekatan tersebut juga menyokong usaha kerajaan menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI), khususnya dengan memperluas saluran tenaga kerja yang sah dan teratur serta mengurangkan ruang kepada permintaan terhadap tenaga kerja tidak sah.
-Advertisement-
Sehingga 30 September 2026, sebanyak 815 syarikat telah menyertai program CSI dengan menawarkan 9,343 kapasiti jawatan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 6,636 jawatan telah diisi, manakala penyertaan kumulatif program berkenaan telah mencapai 18,322 orang.
Program CSI mencerminkan pendekatan pemulihan yang bukan sekadar memberikan peluang kedua kepada individu terlibat, tetapi turut membuka laluan ke arah kehidupan lebih stabil serta menyumbang kepada pengukuhan tenaga kerja tempatan dan manfaat ekonomi kepada masyarakat.
Daripada pemulihan kepada pekerjaan, dan daripada pekerjaan kepada kehidupan baharu, usaha bersepadu antara Jabatan Penjara Malaysia dan pihak industri terus menjadi sebahagian daripada langkah memperkukuh proses reintegrasi ke dalam komuniti – The Capital Post