Projek Kampung Angkat MADANI KPT Capai 78 Peratus

Estimate Reading Time: < 1 minute

KLUANG 4 Oktober 2026 (The Capital Post) – Pelaksanaan projek di bawah Program Kampung Angkat MADANI Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Kampung Melayu Batu 4, Paloh kini mencapai 78 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada 31 Oktober ini.

Projek yang menerima peruntukan RM500,000 itu dilaksanakan bagi menyediakan kemudahan yang dikenal pasti untuk memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Dalam pada itu, projek di bawah Program Sekolah Angkat MADANI di Sekolah Kebangsaan Tunku Mahmood 2 telah mencapai tahap siap sepenuhnya, iaitu 100 peratus, dengan peruntukan RM100,000.

Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim, semalam turun padang bagi meninjau perkembangan kedua-dua program berkenaan di sekitar Kluang serta melihat sendiri kemajuan projek dan keperluan institusi pendidikan serta komuniti setempat.

Lawatan beliau bermula di Sekolah Kebangsaan Tunku Mahmood 2 sebelum diteruskan ke Sekolah Kebangsaan Bukit Paloh, Sekolah Agama Ladang Bukit Paloh dan Kampung Melayu Batu 4, Paloh.

-Advertisement-

Di Sekolah Kebangsaan Tunku Mahmood 2, Aminuddin turut merasmikan Kejohanan Hoki 4 Fun Piala Hari Malaysia Peringkat Daerah Kluang sebelum meneruskan lawatan ke lokasi projek Kampung Angkat MADANI di Kampung Melayu Batu 4.

Secara keseluruhannya, Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI KPT di Kluang menerima peruntukan berjumlah RM600,000, masing-masing RM500,000 bagi Kampung Melayu Batu 4 dan RM100,000 untuk Sekolah Kebangsaan Tunku Mahmood 2.

Lawatan turun padang itu merupakan sebahagian daripada usaha pemantauan KPT bagi memastikan projek yang dirancang dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan serta memberi manfaat kepada warga sekolah dan komuniti setempat.

Turut hadir Pegawai Daerah Kluang, Hajah Azurawati Wahid; Pegawai Pendidikan Daerah Kluang, Haji Ayub Ibrahim; Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tunku Mahmood 2, Padilah Shahran; pemimpin komuniti serta wakil agensi berkaitan – The Capital Post