KUBANG MENERONG 4 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) terus memperkukuh peluang pasaran kepada usahawan luar bandar melalui penganjuran Expo PERDA (EXPERT) 2026 yang menghimpunkan lebih 200 pempamer.
Bertemakan “Sinergi Halal: Memperkasa Usahawan, Memacu Ekonomi”, EXPERT 2026 menyediakan platform kepada usahawan untuk memperluas akses pasaran, membina jaringan perniagaan serta meneroka peluang pengembangan perniagaan menerusi pemadanan perniagaan dan jaringan usahawan halal.
Inisiatif tersebut turut membuka akses kepada Global Halal Marketplace, selain menyediakan peluang import, eksport dan perdagangan serantau melalui kerjasama dengan Indonesia dan Thailand.
EXPERT 2026 telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli bin Ngah Talib, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, di Midtown PERDA, Kubang Menerong, Pulau Pinang, semalam.
-Advertisement-
Turut hadir Yang Mulia Toh Puan Raja Dato’ Seri Utama Noora Ashikin binti Raja Abdullah serta Ketua Setiausaha KKDW, YBhg. Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad bersama barisan pengurusan tertinggi kementerian.
Penganjuran EXPERT 2026 mencerminkan komitmen KKDW melalui PERDA dalam memperkasa usahawan luar bandar dengan menyediakan peluang jaringan perniagaan dan akses pasaran yang lebih luas, termasuk menerusi sektor halal serta pasaran serantau.
Usaha tersebut turut memberi ruang kepada usahawan desa untuk mengangkat produk tempatan ke pasaran yang lebih luas melalui kerjasama perniagaan dan peluang perdagangan yang disediakan – The Capital Post