SEPANG 5 Oktober 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengadakan tinjauan di G Hillstand, Litar Antarabangsa Sepang (SIC), yang menempatkan sebahagian besar pemegang Tiket MADANI, selain menyantuni peminat Formula 1 (F1) yang hadir menyaksikan perlumbaan.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata suasana di kawasan berkenaan meriah dengan pemandangan litar serta kehadiran Karnival Litar Rasa MADANI yang menghimpunkan kira-kira 40 peniaga tempatan.
Karnival tersebut menyediakan pelbagai pilihan makanan dan minuman, termasuk snek serta makanan ringan, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung menikmati juadah sambil menyaksikan aksi perlumbaan.
Menurut Anwar, penganjuran karnival berkenaan bukan sekadar melengkapkan kemeriahan acara sukan permotoran, malah turut membuka ruang kepada peniaga tempatan menikmati manfaat ekonomi daripada kehadiran pengunjung.
-Advertisement-
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta semua agensi yang terlibat dalam menjayakan Karnival Litar Rasa MADANI.
Usaha tersebut dilihat sebagai antara pendekatan untuk memastikan penganjuran F1 di Sepang turut memberi limpahan ekonomi kepada komuniti perniagaan tempatan, khususnya peniaga kecil yang mengambil bahagian dalam karnival berkenaan.
Karnival Litar Rasa MADANI berlangsung di G Hillstand sempena Grand Prix Gulf Air Bahrain 2026 yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang dari 2 hingga 4 Oktober, menandakan kepulangan F1 ke Sepang selepas sembilan tahun. – The Capital Post