TSURUGA, JEPUN 5 Oktober 2026 (The Capital Post) – Delegasi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Malaysia mengadakan lawatan kerja ke Loji Kuasa Nuklear Tsuruga (Tsuruga Nuclear Power Plant – TNPP) di Jepun bagi mendalami aspek pengurusan fasiliti nuklear, keselamatan serta komunikasi awam berkaitan teknologi nuklear.
Lawatan pada 2 Oktober itu diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, YBhg. Datin Safida Zalma binti Mohd Piah, dan turut disertai YBrs. Dr. Shukri Mohd daripada Agensi Nuklear Malaysia serta delegasi Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) yang diketuai Pengerusi Bersama (Industri), YBhg. Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali.
Program dimulakan di Tsuruga Atomic Pavilion Centre menerusi taklimat oleh Japan Atomic Power Company (JAPC), selaku pengendali loji berkenaan. Delegasi diberikan penerangan mengenai keseluruhan fasiliti dan aspek pengurusannya sebelum dibawa mengikuti lawatan tapak dengan pemantauan pihak tuan rumah.
Lawatan tersebut merangkumi pemerhatian terhadap Unit 1 yang sedang menjalani proses penyahtauliahan, aktiviti pemeriksaan di Unit 2 yang masih tidak beroperasi serta aspek perancangan, kejuruteraan dan persediaan pembinaan bagi cadangan Unit 3 dan Unit 4.
Delegasi turut diberi peluang melihat kemudahan reaktor terpilih serta kolam penyimpanan bahan api nuklear terpakai, sekali gus memperoleh pendedahan secara langsung berkaitan prosedur keselamatan dan kawalan sekuriti yang dilaksanakan di fasiliti berkenaan.
-Advertisement-
Sesi soal jawab turut diadakan selepas lawatan bagi membincangkan perkara yang diperhatikan sepanjang program. Safida Zalma mendapatkan penjelasan berkaitan keperluan keselamatan dan kawal selia nuklear Jepun yang telah diperkukuh, selain pendekatan advokasi dalam meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai teknologi nuklear.
Pihak Jepun turut berkongsi pengalaman, cabaran dan pendekatan yang dilaksanakan, khususnya dalam aspek keselamatan, komunikasi awam serta libat urus masyarakat yang boleh dijadikan rujukan oleh Malaysia.
MOSTI turut merakamkan penghargaan kepada JAPC dan Japan Atomic Industrial Forum (JAIF)-International Cooperation Center (JICC), khususnya Encik Shiro Saito, Encik Kazuhiro Otaka serta Encik Toshihiro Yamakawa atas sambutan, taklimat dan perkongsian pengalaman sepanjang lawatan.
Program berkenaan dilihat memperkukuh pertukaran pengetahuan serta hubungan dua hala antara institusi Malaysia dan Jepun dalam bidang penggunaan teknologi nuklear bagi tujuan aman – The Capital Post