Konvoi Lamborghini Meriahkan Citrawarna Speed Festival

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 5 Oktober 2026 (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot merasmikan pelepasan “Konvoi Eksklusif Lamborghini 2026” sempena Citrawarna Speed Festival 2026 di IOI City Mall, Putrajaya, semalam.

Konvoi berkenaan menghimpunkan kira-kira 100 buah kenderaan Lamborghini untuk bergerak dari IOI City Mall, Putrajaya menuju ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Selangor sebagai antara pengisian utama festival berkenaan.

Penganjuran konvoi tersebut mengetengahkan gabungan budaya automotif, hiburan dan pengalaman pelancongan yang bertujuan menarik minat pelawat tempatan serta antarabangsa menerusi aktiviti berteraskan sukan permotoran.

Setibanya di SIC, peminat automotif dan orang ramai berpeluang menyaksikan pameran kenderaan ikonik dengan lebih dekat, sekali gus menikmati pengalaman yang menggabungkan elemen gaya hidup dan industri permotoran.

-Advertisement-

Inisiatif berkenaan turut menyokong usaha MOTAC mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang dinamik dengan menawarkan kepelbagaian pengalaman kepada pelancong, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Kempen Melawat Malaysia 2026–2027 (VM2026-2027).

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, YBrs. Tuan Muhammad Kamil Abdul Munim serta Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) dan Ketua Sekretariat VM2026-2027 Tourism Malaysia, YBrs. Encik Mohd Akbal Setia – The Capital Post