PUTRAJAYA 22 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Kementerian Ekonomi sedang mempergiat perancangan pembangunan ekosistem ekonomi sosial di Malaysia selaras dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), bagi memperkukuh pembangunan sosioekonomi yang lebih inklusif dan mampan.
Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Haji Mohd Nasir, menerima taklimat daripada Bahagian Industri Perkhidmatan, Kementerian Ekonomi berhubung perancangan tersebut ketika sela-sela mesyuarat. Perbincangan itu memberi tumpuan kepada langkah memperkasa sektor ketiga supaya dapat memainkan peranan lebih besar dalam menyokong pembangunan negara.
Pembangunan ekosistem ekonomi sosial merupakan antara pendekatan untuk mengarusperdanakan sektor ketiga sebagai pemangkin pertumbuhan yang turut mengambil kira keperluan masyarakat. Melalui pendekatan ini, organisasi dan penggiat sektor berkenaan berpeluang memperluas sumbangan mereka dalam menangani cabaran sosial, memperkasa komuniti serta mewujudkan peluang pekerjaan dan pendapatan.
Selaras dengan strategi RMK13, beberapa keutamaan telah dikenal pasti, termasuk memperkukuh daya tahan dan kapasiti pemain sektor ketiga, meningkatkan keterlihatan sektor ini serta menggalakkan lebih banyak syarikat menyertai perniagaan inklusif. Usaha memperkemas tadbir urus dan kerangka dasar sektor ketiga turut menjadi antara tumpuan bagi memastikan pembangunan yang lebih tersusun.
-Advertisement-
Pelaksanaan pendekatan menyeluruh ini dijangka membantu membina persekitaran yang lebih kondusif kepada penggiat ekonomi sosial, di samping meningkatkan keupayaan mereka untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. Penyertaan sektor korporat dalam perniagaan inklusif juga dilihat sebagai ruang untuk menghubungkan matlamat sosial dengan aktiviti ekonomi yang berdaya maju.
Bagi menyokong hala tuju tersebut, Kementerian Ekonomi akan meneruskan kajian pembangunan ekosistem ekonomi sosial sebagai asas kepada pembentukan dasar dan kerangka pembangunan sektor ketiga. Kajian berkenaan bertujuan membantu merangka pendekatan yang lebih berkesan bagi memperkukuh peranan sektor ini dalam agenda pembangunan sosioekonomi negara – The Capital Post