SERDANG 22 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperkukuh usaha membangunkan ekonomi penjagaan negara menerusi perkongsian dasar, inisiatif dan strategi terkini sempena National Conference on Ageing 2026 yang berlangsung dari 18 hingga 23 Oktober.
Kementerian itu diwakili oleh Setiausaha Bahagian Kesejahteraan Masyarakat, YBrs. Encik Asmar Asmadi Abdullah Sani, yang berkongsi pendekatan KPWKM dalam membangunkan ekosistem penjagaan lebih menyeluruh bagi menghadapi perubahan demografi dan peningkatan keperluan penjagaan masyarakat.
Antara inisiatif yang diketengahkan ialah pelaksanaan Malaysia Care Strategic Framework, pembangunan Piawaian Penjagaan Warga Emas serta usaha memperkasa latihan kemahiran dalam bidang penjagaan. KPWKM turut mengetengahkan cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Penjagaan pada masa hadapan sebagai langkah memperkukuh kerangka dan ekosistem penjagaan negara.
Pembangunan sektor ekonomi penjagaan semakin penting dalam memastikan keperluan golongan warga emas dan individu yang memerlukan sokongan penjagaan dapat ditangani dengan lebih teratur. Pada masa yang sama, peningkatan kemahiran tenaga kerja dalam sektor ini berpotensi menyokong penyediaan perkhidmatan yang lebih berkualiti serta membuka ruang kepada pembangunan kerjaya berkaitan penjagaan.
-Advertisement-
Persidangan berkenaan dianjurkan oleh MyAgeing, Universiti Putra Malaysia (UPM), dengan kerjasama Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), United Nations Population Fund (UNFPA), Malaysia Productivity Corporation (MPC), Women Leadership Foundation dan Kendana.
Penganjuran tersebut menghimpunkan lebih 300 wakil daripada institusi akademik, sektor industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta badan antarabangsa. Persidangan ini berfungsi sebagai platform untuk perkongsian pengetahuan, pertukaran pandangan dan pembentukan kerjasama strategik dalam menangani cabaran penuaan penduduk.
Melalui penyertaan dalam persidangan ini, KPWKM meneruskan usaha memperkukuh dasar dan inisiatif ekonomi penjagaan agar pembangunan sektor berkenaan dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, di samping menyokong kesejahteraan warga emas, keluarga dan masyarakat secara keseluruhan – The Capital Post