PULAU PINANG 22 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus mempergiat usaha meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara menerusi penganjuran Kempen PINK CaRe: Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2026 Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan oleh Menterinya, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, pada 21 Oktober.
Program yang dilaksanakan melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu bertujuan menggalakkan wanita di Malaysia memberi perhatian terhadap kesihatan payudara serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengesanan awal kanser payudara.
Antara inisiatif utama yang diteruskan ialah Program Subsidi Ujian Mamogram yang diperkenalkan sejak 2007. Program tersebut membantu memperluas akses wanita kepada pemeriksaan mamogram bagi membolehkan sebarang perubahan pada payudara dikenal pasti lebih awal dan tindakan susulan mendapatkan rawatan dapat dipertimbangkan dengan sewajarnya.
Komitmen kerajaan terhadap usaha berkenaan turut ditunjukkan menerusi Belanjawan 2027 apabila peruntukan Program Subsidi Ujian Mamogram dinaikkan kepada RM9 juta, berbanding RM8 juta pada 2026. Peningkatan peruntukan itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 38,000 wanita, sekali gus memperluas capaian kepada perkhidmatan saringan yang berkaitan.
-Advertisement-
Kempen kesedaran ini juga menekankan bahawa usaha menangani kanser payudara memerlukan sokongan bersama daripada pelbagai pihak, termasuk keluarga, komuniti dan penyedia perkhidmatan kesihatan. Kesedaran yang lebih meluas dapat membantu menggalakkan wanita mendapatkan maklumat yang tepat serta mengambil langkah proaktif dalam menjaga kesihatan diri.
Kesihatan wanita, khususnya ibu dalam sesebuah keluarga, turut memainkan peranan penting dalam kesejahteraan keluarga dan masyarakat. Justeru, kempen PINK CaRe diharap dapat memperkukuh budaya pemeriksaan kesihatan dan menggalakkan lebih ramai wanita mendapatkan nasihat profesional serta menjalani saringan mengikut kesesuaian.
Melalui pelaksanaan kempen dan peluasan program subsidi mamogram, KPWKM menerusi LPPKN meneruskan usaha mempertingkat kesedaran serta menyokong akses kepada pengesanan awal kanser payudara, dengan matlamat melindungi kesihatan wanita dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat – The Capital Post