MOSTI Dedah Murid Orang Asli kepada Robotik Dan STEM

Estimate Reading Time: 2 minutes

SLIM RIVER 22 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus memperluas pendedahan sains dan teknologi kepada pelajar sekolah menerusi Program STEM Camp MOSTI 2026 yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Pos Bersih, Ulu Slim, Slim River, Perak, pada 21 Oktober.

Program tersebut dianjurkan oleh Kelab STEM TVET Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Maths Proofread dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Muallim. Inisiatif ini bertujuan mencungkil bakat serta meningkatkan pemahaman murid dalam bidang robotik, elektronik dan inovasi teknologi.

Seramai 90 murid daripada tiga sekolah, iaitu Sekolah Kebangsaan Pos Bersih selaku tuan rumah, Sekolah Kebangsaan Ulu Slim dan Sekolah Kebangsaan Slim Village, menyertai program berkenaan. Penganjurannya turut membuka ruang kepada murid, termasuk komuniti Orang Asli, untuk meneroka bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pengalaman pembelajaran secara langsung.

Sepanjang program, peserta didedahkan kepada komponen asas elektronik, mikropengawal dan sistem kawalan. Mereka turut menjalani aktiviti pemasangan litar elektronik asas serta mempelajari prinsip pembinaan projek kereta kawalan.

-Advertisement-

Pendekatan pembelajaran secara praktikal dan interaktif membolehkan murid memahami konsep teknologi dengan lebih dekat. Peserta juga berpeluang menguji projek yang dibangunkan dan melakukan penambahbaikan, sekali gus menggalakkan pemikiran kritis, penyelesaian masalah serta kreativiti dalam menghasilkan inovasi.

Pelaksanaan program ini mencerminkan usaha berterusan MOSTI untuk membudayakan sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam kalangan generasi muda, termasuk murid di kawasan luar bandar. Pendedahan awal kepada bidang robotik dan mikroelektronik dapat membantu meluaskan akses pendidikan STEM serta memberi peluang kepada pelajar mengenal pasti potensi dan minat mereka dalam bidang berteknologi tinggi.

Melalui kerjasama institusi pendidikan dan rakan strategik, program seperti STEM Camp MOSTI diharap dapat menyemai minat terhadap sains dan kejuruteraan, selain membina keyakinan murid untuk meneroka bidang inovasi. Usaha ini penting dalam melahirkan generasi berkemahiran, berdaya saing dan bersedia menghadapi perkembangan teknologi pada masa hadapan – The Capital Post