KUCHING 23 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan berkuat kuasa 26 Oktober 2026 bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Yang di-Pertua Negeri Sarawak telah memperkenankan permohonan beliau untuk membubarkan DUN selaras dengan Perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak.
Menurut beliau, pembubaran itu bertujuan memberi peluang kepada rakyat Sarawak memilih kerajaan dengan mandat baharu bagi meneruskan agenda pembangunan negeri.
“Rakyat Sarawak mesti diberikan peluang untuk melaksanakan hak demokratik mereka bagi memilih kerajaan dengan mandat baharu untuk meneruskan agenda pembangunan Sarawak,” katanya ketika sidang akhbar khas di Kompleks Satria Pertiwi, hari ini.
Abang Johari berkata, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran, manakala DUN baharu hendaklah bersidang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh berkenaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dimaklumkan mengenai pembubaran tersebut bagi membolehkan persiapan pilihan raya dilaksanakan.
-Advertisement-
Dalam tempoh berkenaan, kerajaan akan berfungsi sebagai kerajaan sementara dengan mematuhi keperluan serta konvensyen berkaitan.
Katanya, perkhidmatan penting akan terus beroperasi bagi memastikan keperluan dan kebajikan rakyat Sarawak sentiasa terpelihara.
Pada masa sama, Abang Johari merakamkan penghargaan kepada rakyat Sarawak atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan sepanjang penggal pentadbiran, selain mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli DUN serta seluruh pentadbiran kerajaan atas khidmat mereka.
Beliau turut menyeru semua pihak, khususnya parti politik, calon dan penyokong, supaya menghormati undang-undang serta bertindak secara bertanggungjawab sepanjang tempoh pilihan raya.
“Marilah kita bersama-sama memelihara keamanan, perpaduan dan keharmonian Sarawak yang amat kita hargai, sekali gus membolehkan rakyat membuat pilihan mereka secara bebas,” katanya. – The Capital Post