Tiga Murid SMKA Lati Johan Kebangsaan STEM 2026

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 24 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Tiga orang murid Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati, Pasir Mas, Kelantan mengharumkan nama sekolah apabila berjaya merangkul gelaran Johan Kebangsaan Pertandingan Innovators of Tomorrow STEM 2026 bagi Kategori Sekolah Menengah.

Kejayaan itu diraih sempena Karnival STEM Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Kuala Lumpur, sekali gus membuktikan potensi murid dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Tiga murid yang berjaya mengungguli pertandingan tersebut ialah Adlan Hanzalah bin Redza Ansar, Muhammad Syafi Hasnan bin Mahassan dan Wan Ahmad Eiman Hadif bin Wan Mohd Azan.

Pencapaian membanggakan ini mencerminkan kreativiti, daya inovasi serta keupayaan murid dalam meneroka idea dan penyelesaian baharu melalui pendekatan pembelajaran berasaskan STEM.

-Advertisement-

Kejayaan mereka turut menjadi inspirasi kepada warga pendidikan untuk terus memupuk minat terhadap inovasi dan kreativiti dalam kalangan murid, selain menggalakkan penyertaan aktif dalam bidang STEM sejak di bangku sekolah.

Diharapkan pencapaian ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan pada masa hadapan, di samping menyemarakkan budaya inovasi dalam usaha melahirkan generasi berilmu, kreatif dan berdaya saing.

Tahniah dan syabas kepada ketiga-tiga murid serta seluruh warga SMKA Lati atas kejayaan yang membanggakan ini.  – The Capital Post