Ekspo TVET@KKDW 2026 Bermula di Sabak Bernam

Estimate Reading Time: < 1 minute

SABAK BERNAM 24 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Ekspo TVET@KKDW 2026 membuka tirainya hari ini di Pekarangan Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor, dengan pelbagai pengisian menarik bagi mengetengahkan peluang pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) kepada masyarakat.

Antara tarikan utama ialah reruai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Zon A yang menampilkan pelbagai aktiviti interaktif dan demonstrasi kemahiran untuk pengunjung.

Reruai berkenaan mengetengahkan demonstrasi daripada Pusat Latihan JAKOA Paya Bungor (PLJPB), selain aktiviti anyaman, persembahan tarian sewang, kuiz serta pelbagai pengisian lain yang memperkenalkan kemahiran dan warisan budaya masyarakat Orang Asli.

Penganjuran ekspo ini menyediakan platform kepada orang ramai untuk mendapatkan pendedahan mengenai bidang TVET, meneroka peluang latihan kemahiran serta mengenali pelbagai program yang ditawarkan oleh agensi berkaitan.

-Advertisement-

Penyertaan JAKOA turut memberi ruang untuk mengetengahkan kemahiran tradisional dan kebudayaan masyarakat Orang Asli, di samping meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pembangunan kemahiran dalam memperluas peluang pendidikan dan kerjaya.

Orang ramai dijemput hadir ke Ekspo TVET@KKDW 2026 dan mengunjungi reruai JAKOA bagi menyertai aktiviti yang disediakan serta mendapatkan pengalaman pembelajaran yang bermanfaat.

Dengan tema “Ekspo TVET@KKDW 2026: Pilihan Kemahiran Anda!”, ekspo ini menggalakkan masyarakat meneroka bidang kemahiran sebagai salah satu laluan untuk membina masa depan yang lebih cerah. – The Capital Post