KUALA LUMPUR 24 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Seramai 14 remaja daripada komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) yang mengikuti kelas kek dan pastri di bawah Program PERMATA Remaja anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjaya menyertai Program Mobiliti dan Pengantarabangsaan selama 11 hari di Korea Selatan bermula 17 Oktober 2026.
Program anjuran Pusat Pemerkasaan Remaja (PERKASA), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu diketuai oleh Prof. Madya Dr. Nasrudin Subhi bersama barisan penyelidik, tenaga pengajar dan pegawai pengiring.
Sepanjang program tersebut, para peserta berpeluang mengetengahkan bakat seni dan budaya Malaysia menerusi penyertaan dalam beberapa acara antarabangsa, sekali gus memperoleh pengalaman berharga dalam persekitaran global.
Antara pencapaian utama ialah penyertaan dalam 2026 Seoul Youth Festival di Culture Plaza, Taman Yeouido, apabila para peserta mempersembahkan gabungan seni silat tradisional Melayu, tarian moden, tarian kipas dan nyanyian bersama remaja Korea Selatan.
Selain itu, mereka turut diberi penghormatan untuk mempersembahkan seni warisan budaya Malaysia di 2026 UNESCO World Heritage Festival di Andong, sekali gus memperkenalkan keunikan budaya tempatan kepada masyarakat antarabangsa.
Program berkenaan turut memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran melalui aktiviti pembuatan kek dan pastri. Para peserta mengendalikan reruai manisan tradisional, mengedarkan kuih madeleine hasil pembelajaran kelas K-baking serta mengikuti latihan pembuatan kek dan persembahan intensif di Seoul Youth Music Centre (SYMC) dan Cheongwang-Dong Youth Centre.
-Advertisement-
Pengalaman pengantarabangsaan itu turut diperkaya dengan aktiviti pertukaran budaya, termasuk peluang menghayati tradisi masyarakat tempatan menerusi pengalaman menginap di perkampungan budaya Andong Imcheonggak.
Penyertaan ini membuktikan bahawa latar belakang sosioekonomi bukan penghalang untuk golongan remaja, khususnya daripada kumpulan B40, mengembangkan potensi diri, meningkatkan keyakinan serta membina kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi cabaran masa depan.
Kejayaan tersebut juga mencerminkan kepentingan program pembangunan remaja yang menyediakan peluang pembelajaran, pendedahan antarabangsa dan pengembangan bakat secara menyeluruh.
Tahniah diucapkan kepada semua peserta, pihak UKM, KPM serta tenaga pengajar dan pegawai pengiring yang menjayakan program berkenaan, sekali gus membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa. – The Capital Post