KUALA LUMPUR 24 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Isteri Perdana Menteri, YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah binti Dr. Wan Ismail, merasmikan Pelancaran Awal MySPECS yang bertujuan memperkukuh akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan penglihatan yang berkualiti, mampu milik dan memenuhi keperluan individu.
MySPECS merupakan inisiatif kebangsaan hasil kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi meningkatkan akses kepada perkhidmatan penjagaan ralat refraksi untuk semua peringkat umur.
Inisiatif ini selari dengan SPECS 2030, yang dilancarkan oleh WHO pada 2024 bagi menyokong sasaran global meningkatkan liputan efektif pembetulan ralat refraksi (effective Refractive Error Coverage, eREC) sebanyak 40 peratus menjelang 2030.
SPECS 2030 memberi tumpuan kepada lima bidang tindakan utama, iaitu perkhidmatan (Services), tenaga kerja (Personnel), pendidikan (Education), kos (Cost), serta pemantauan dan penyelidikan (Surveillance and Research).
Kelima-lima bidang tersebut menekankan usaha memperluas akses kepada perkhidmatan penjagaan ralat refraksi, memperkukuh kapasiti tenaga kerja, meningkatkan kesedaran masyarakat, mengurangkan kos perkhidmatan serta mempertingkat pemantauan dan penyelidikan berkaitan kesihatan penglihatan.
Dalam ucapannya, Wan Azizah menegaskan bahawa kesihatan penglihatan merupakan aspek penting dalam pembangunan negara yang perlu diberikan perhatian sepanjang hayat.
-Advertisement-
Beliau turut menekankan kepentingan pemeriksaan mata secara berkala, pengesanan awal dan intervensi bersesuaian bagi memastikan masalah penglihatan dapat dikenal pasti serta ditangani dengan sewajarnya.
Selain itu, beliau menggariskan kepentingan kerjasama strategik antara agensi kerajaan, sektor pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan, sektor korporat dan masyarakat dalam meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan mata.
Kerjasama menyeluruh itu juga penting bagi memastikan setiap golongan masyarakat mendapat akses kepada perkhidmatan penjagaan penglihatan yang diperlukan tanpa ada pihak yang tercicir.
Turut hadir ialah Wakil WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, YBrs. Dr. Rabindra Abeyasinghe; Pengarah Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu KKM, YBrs. Encik Rusli bin Ibrahim; serta Ketua Profesion Pegawai Optometri KKM, YBrs. Tuan Haji Nazirin bin Haji Arsad.
Pelancaran awal MySPECS mencerminkan usaha memperkukuh agenda kesihatan penglihatan melalui kerjasama pelbagai pihak, di samping meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan mata yang berkualiti dan mampu milik untuk semua lapisan masyarakat. – The Capital Post