PUTRAJAYA 24 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memperkukuh usaha meningkatkan kecekapan pentadbiran tanah Persekutuan menerusi Program Turun Padang Ketua Setiausaha NRES ke Ibu Pejabat Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) pada 23 Oktober 2026.
Lawatan tersebut memberi tumpuan kepada prestasi organisasi, keberkesanan penyampaian perkhidmatan serta hala tuju strategik pentadbiran tanah Persekutuan bagi memastikan pengurusan dilaksanakan secara cekap, sistematik dan berintegriti.
Ketua Setiausaha NRES, YBhg. Datuk Wira Anis Rizana binti Mohd Zainudin, bersama Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, YBhg. Dato’ Haji Mohd Fauzi bin Haji Mohd Yatim, meneliti keutamaan organisasi, pelaksanaan fungsi jabatan serta pendekatan pengurusan yang digunakan dalam memastikan kelancaran urusan pentadbiran tanah.
Perbincangan sepanjang lawatan turut merangkumi cabaran operasi yang dihadapi, keperluan penambahbaikan serta keberkesanan pelaksanaan tanggungjawab jabatan dalam memenuhi keperluan semasa.
Penelitian tersebut penting bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam proses kerja, meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan serta memastikan standard tadbir urus yang telus dan berakauntabiliti terus dipelihara.
-Advertisement-
Inisiatif turun padang ini juga menjadi platform untuk memperkukuh penyelarasan antara kementerian dengan jabatan, di samping memastikan hala tuju strategik organisasi diterjemahkan melalui pelaksanaan tugas yang berkesan.
Turut hadir ialah Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) NRES, YBhg. Dato’ Muhammad Ammir bin Haron; Setiausaha Bahagian (Tanah, Ukur dan Geospatial) NRES, YBhg. Datuk Muhammad Yasir bin Yahya; Timbalan Ketua Pengarah Sektor Penyelarasan dan Operasi, Encik Mohd Ashraf bin Mohd Noor; serta barisan pengurusan tertinggi NRES, pengarah kanan dan pengarah.
Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen NRES dan JKPTG untuk memperkukuh tadbir urus serta memastikan pentadbiran tanah Persekutuan terus dilaksanakan secara profesional, cekap dan berintegriti demi kepentingan negara. – The Capital Post