Murid SK Kunak 1 Sertai Kembara Ilmu ke Parlimen

Estimate Reading Time: < 1 minute

Kuala Lumpur, 29 Oktober 2026 – Seramai 30 murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Kunak 1, Kunak, Sabah, berpeluang mengenali dengan lebih dekat institusi pentadbiran negara menerusi Program Kembara Ilmu yang turut merangkumi kunjungan hormat ke Parlimen Malaysia pada 28 Oktober 2026.

Rombongan yang terdiri daripada enam orang guru dan 30 murid itu telah disambut oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Dr. Haji Mohammad Yusof Apdal, dalam satu sesi kunjungan hormat dan ramah mesra.

Program lawatan sambil belajar ke Kuala Lumpur tersebut bertujuan memberikan pengalaman baharu kepada para murid, selain memperluas pengetahuan mereka mengenai sistem pentadbiran negara dan peranan institusi Parlimen Malaysia.

Dalam sesi ramah mesra yang disusuli jamuan makan tengah hari bersama rombongan, Mohammad Yusof turut menyampaikan kata-kata semangat kepada para murid agar memanfaatkan peluang berkenaan untuk menimba ilmu, membina keyakinan diri dan berusaha mencapai cita-cita masing-masing.

-Advertisement-

Pengalaman mengunjungi institusi penting negara diharap dapat menyuntik inspirasi kepada murid untuk terus meningkatkan pencapaian dalam pelajaran serta membentuk keyakinan dalam menghadapi masa depan.

Program seumpama ini juga membuka ruang kepada generasi muda untuk memperoleh pendedahan di luar bilik darjah, sekali gus menjadikan proses pembelajaran lebih bermakna melalui pengalaman secara langsung. – The Capital Post