IPOH, 30 Oktober 2026 – Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim menyeru pengurusan politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) supaya merangka strategi lebih berani dan berasaskan data bagi menjadikan institusi berkenaan sebagai rujukan utama industri dalam penyediaan bakat teknikal negara.
Beliau berkata, POLYCC perlu membuktikan kerelevanannya melalui kualiti graduan, kepakaran yang memenuhi keperluan industri serta pencapaian yang boleh diukur bagi memastikan institusi tersebut terus menjadi pilihan majikan dan pemain industri.
Menurut beliau, hubungan erat antara institusi pendidikan dan industri perlu melahirkan graduan yang bukan sahaja menguasai pengetahuan teori, malah memiliki keyakinan, disiplin, integriti serta keupayaan menyesuaikan diri dengan persekitaran pekerjaan sebenar.
Sehubungan itu, pendekatan Pembelajaran Berasaskan Kerja (Work-Based Learning, WBL) perlu dikembangkan secara dinamik dengan mengambil kira perubahan teknologi, keperluan pasaran pekerjaan dan kaedah pembelajaran baharu yang seiring perkembangan industri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Kecemerlangan WBL POLYCC sempena lawatan kerja beliau ke Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh, pada 29 Oktober 2026.
Pusat Kecemerlangan WBL POLYCC yang berpusat di PUO berperanan sebagai hab rujukan nasional bagi menyelaras dan memantau pelaksanaan WBL. Tumpuan turut diberikan kepada standard kualiti latihan, kompetensi pensyarah dan mentor industri serta pengurusan berasaskan data.
-Advertisement-
Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin turut menegaskan bahawa penubuhan pusat berkenaan perlu disusuli dengan penyelidikan, pembangunan kepakaran dan perkongsian amalan terbaik secara berterusan bagi memastikan pelaksanaannya memberikan manfaat nyata kepada institusi pendidikan serta sektor industri.
Pelaksanaan WBL dalam ekosistem POLYCC bermula di kolej komuniti pada 2007 sebelum diperluas ke politeknik pada 2008. Kini, pendekatan tersebut melibatkan 25 institusi di seluruh negara, terdiri daripada 11 politeknik dan 14 kolej komuniti.
Sepanjang lawatan kerja itu, beliau turut meninjau beberapa kemudahan PUO, termasuk Makmal Digital Cubix, penginapan pelajar Kolej Sinergi, Jabatan Kejuruteraan Perkapalan, Makmal Fizik di Jabatan Matematik, Sains dan Komputer (JMSK) serta fasiliti CARE-Daikin bagi melihat kemudahan pembelajaran, prasarana dan pendedahan industri yang disediakan kepada pelajar.
Lawatan tersebut turut menyaksikan penganjuran Sidang Kemuncak Pembelajaran Berasaskan Kerja POLYCC 2026 yang menghimpunkan lebih 500 peserta. Program berkenaan menjadi platform perkongsian kepakaran, pameran inovasi serta pengukuhan jaringan kerjasama antara institusi TVET dengan pihak industri.
Turut menyertai lawatan itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shamsuri Abdullah, serta Pengarah PUO, Dr. Hajah Salmi Che Meh. – The Capital Post