Dua Bot Penumpang Ditahan Di Perairan Klang

Estimate Reading Time: 2 minutes

PELABUHAN KLANG, 31 Oktober 2026 – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan dua bot penumpang kerana gagal mengemukakan dokumen bot yang sah dalam Operasi Khas JALMAR Siri 3 Bil. 1/2026 hasil kerjasama dengan Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT) di perairan Pelabuhan Klang.

Operasi yang berlangsung selama tiga hari bermula 27 hingga 30 Oktober 2026 itu melibatkan seramai 30 pegawai dan anggota daripada kedua-dua agensi dengan menggunakan dua bot Maritim Malaysia serta sebuah bot JLWT.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, kedua-dua bot berkenaan ditahan selepas pemeriksaan mendapati terdapat kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO 1952).

Menurut beliau, operasi tersebut bertujuan meningkatkan tahap keselamatan pelayaran serta memastikan pengusaha bot mematuhi syarat pelesenan dan keperluan kelengkapan keselamatan yang ditetapkan, khususnya bagi bot penumpang. Operasi itu turut memberi tumpuan kepada usaha membanteras aktiviti perkapalan yang melanggar undang-undang.

Antara aktiviti yang diberi perhatian termasuk pemindahan muatan antara kapal (ship-to-ship), pengisian bahan api kapal (bunkering) tanpa lesen, pengoperasian kapal pengangkut pasir yang tidak mematuhi syarat serta pencerobohan kapal yang bersauh tanpa kebenaran.

-Advertisement-

Pelaksanaan operasi dibahagikan kepada tiga fasa. Fasa pertama melibatkan taklimat dan perkongsian ilmu oleh pegawai JLWT berkaitan prosedur pemeriksaan aktiviti pemindahan muatan antara kapal serta bunkering, diikuti taklimat operasi oleh Pegawai Staf Operasi Maritim Negeri Selangor.

Fasa kedua melibatkan pemeriksaan dan penguatkuasaan di laut, manakala fasa ketiga menyaksikan majlis penutup yang berlangsung di Pejabat JLWT dan dihadiri Pengarah JLWT, Harizam bin Albukhari.

Abdul Muhaimin berharap kerjasama seumpama ini dapat meningkatkan kesedaran pengusaha bot mengenai kepentingan keselamatan pelayaran, selain memastikan setiap pengoperasian mematuhi syarat pelesenan dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Kerjasama strategik antara Maritim Malaysia dan JLWT ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua agensi dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang maritim, sekali gus memastikan keselamatan pelayaran dan ketenteraman perairan negara sentiasa terpelihara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah maritim atau kecemasan di laut boleh menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan segera. – The Capital Post