AYER KEROH, 2 November 2026 – Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, menyempurnakan pelepasan peserta Traditional Costumes Brisk Walk sempena Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) Peringkat Kebangsaan 2026 di AEON Melaka Shopping Centre, Ayer Keroh.
Menariknya, Dzulkefly turut menyertai aktiviti berjalan kaki bersama peserta yang hadir dengan mengenakan pelbagai pakaian tradisional, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia dalam suasana kecergasan dan kebersamaan.
Aktiviti yang menggabungkan amalan kecergasan fizikal dengan keunikan pakaian tradisional pelbagai kaum itu membawa mesej bahawa gaya hidup sihat boleh dibudayakan melalui pendekatan santai, menyeronokkan dan inklusif. Pada masa sama, program berkenaan turut menyemarakkan semangat perpaduan dalam komuniti.
Berteraskan slogan “Sihat Itu Saya, Sihat Itu Kita, Sihat Itu Malaysia”, inisiatif tersebut menekankan bahawa tanggungjawab menjaga kesihatan bukan hanya terletak pada individu, sebaliknya memerlukan sokongan keluarga, komuniti dan seluruh lapisan masyarakat.
Amalan aktiviti fizikal secara konsisten bukan sahaja membantu meningkatkan kecergasan tubuh badan, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan mental dan psikososial.
Program anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Melaka serta rakan strategik, AEON Melaka Shopping Centre, turut diserikan dengan pelbagai pengisian termasuk sesi regangan fizikal, Zumba Neon, cabutan bertuah, penyampaian hadiah pertandingan karaoke dan gimik sambutan ulang tahun ke-35 AEON Melaka Shopping Centre.
-Advertisement-
Sebelum acara berjalan kaki berlangsung, Menteri Kesihatan bersama para hadirin turut menyertai sesi regangan fizikal dan aktiviti kecergasan. Penyertaan beliau mencerminkan pendekatan kepimpinan melalui teladan dalam menggalakkan masyarakat menjadikan aktiviti fizikal sebagai sebahagian daripada rutin harian.
Sambutan itu turut menyaksikan acara pemotongan kek sempena ulang tahun ke-35 AEON Melaka Shopping Centre sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan dan kerjasama rakan strategik dalam menjayakan inisiatif promosi kesihatan bersama KKM.
KKM akan terus mempergiat usaha mempromosikan gaya hidup sihat melalui pendekatan berterusan, inklusif dan berorientasikan komuniti bagi meningkatkan kesedaran terhadap pencegahan penyakit serta menggalakkan setiap individu bertanggungjawab terhadap kesihatan diri, keluarga dan masyarakat.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan) KKM, Dato’ Sri Zahrul Hakim bin Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) KKM, Dr. Ismuni bin Bohari; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, Dr. Husnina binti Ibrahim; Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan KKM, Encik Aziman bin Mahdi; Pengurus Kanan Operasi Pusat Beli-Belah (Klang Valley 1 Region), Encik Amran bin Latif; serta Pengurus Kanan Operasi AEON Mall Shopping Centre dan AEON Mall Bandaraya Melaka, Cik Tan Hiu Fang. – The Capital Post