Lebih 500 Peserta Meriahkan Program Kecergasan BMSS 2026

Estimate Reading Time: < 1 minute

BATU BERENDAM, 2 November 2026 – Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, menyempurnakan Program Kecergasan Sihat dan Santai Orang Muda Melaka sempena Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) 2026 di perkarangan Econsave, Batu Berendam.

Beliau menyempurnakan acara pelepasan peserta Fun Walk sejauh tiga kilometer, selain menyertai sesi pemanasan badan bersama lebih 500 peserta yang hadir memeriahkan program bertemakan ‘Sihat Itu Saya’.

Penganjuran program tersebut bertujuan menggalakkan masyarakat, khususnya golongan muda, mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat. Inisiatif seumpama ini turut meningkatkan kesedaran bahawa penjagaan kesihatan perlu dijadikan sebahagian daripada rutin kehidupan seharian.

Selain menyertai aktiviti kecergasan, Dzulkefly turut meluangkan masa melawat lima orang pesakit serta menyantuni ahli keluarga mereka bersama golongan orang muda. Lawatan itu mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan pesakit dan keluarga, di samping mengeratkan hubungan antara warga kesihatan dengan masyarakat.

-Advertisement-

Program berkenaan selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat melalui pembudayaan gaya hidup sihat, semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap komuniti.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan) KKM, Dato’ Sri Zahrul Hakim bin Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) KKM, Dr. Ismuni bin Bohari; Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan KKM, Encik Aziman bin Mahdi; Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Wira Haji Mahfiz bin Omar; serta Pengarah LPP Melaka, Encik Zulkifliy bin Jamil. – The Capital Post