KUALA LUMPUR, 2 November 2026 – Seramai 20 pegawai daripada Kementerian Digital dan Jabatan Digital Negara (JDN) menerima Watikah Munsyi Muda Bahasa Perkhidmatan Awam bagi tahun 2025 dan 2026 dalam satu majlis di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara.
Daripada jumlah tersebut, dua orang merupakan pegawai Kementerian Digital, manakala 18 orang lagi daripada JDN.
Pengiktirafan itu diberikan sebagai penghargaan terhadap kecekapan berbahasa serta peranan pegawai dalam memastikan penggunaan bahasa Melayu yang tepat, teratur dan berwibawa dalam komunikasi serta urusan rasmi kerajaan.
Sebagai Munsyi Muda Bahasa, para penerima diharapkan dapat menjadi rujukan dan penggerak budaya penggunaan bahasa yang berkualiti dalam organisasi masing-masing.
-Advertisement-
Usaha ini turut menyumbang kepada pemantapan mutu komunikasi rasmi serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam melalui penggunaan bahasa Melayu yang baik dan berkesan.
Pengiktirafan berkenaan juga mencerminkan komitmen berterusan dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, khususnya dalam urusan pentadbiran dan komunikasi sektor awam. – The Capital Post