KUANTAN 7 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Persidangan Pelancongan Islam Sedunia (WITC) 2026 menjadi platform penting dalam memperluas perkongsian ilmu dan kepakaran industri, selain membuka ruang kerjasama strategik antara pemain pelancongan tempatan dengan rakan antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man berkata, persidangan yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu berjaya menghimpunkan penceramah berpengalaman, delegasi luar negara serta penggiat industri daripada sektor pelancongan dan ekonomi.
Menurut beliau, penyertaan pelbagai pihak dalam persidangan berkenaan diharap dapat membentuk jaringan kerjasama yang berpotensi menghasilkan peluang perniagaan serta transaksi ekonomi antara Pahang dengan negara lain pada masa hadapan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas menghadiri majlis perasmian mural seni Islam sempena WITC 2026 di Menara Kuantan 188, di sini hari ini.
Leong berkata, Kerajaan Negeri Pahang berbesar hati apabila dipilih sebagai negeri pertama menjadi tuan rumah persidangan antarabangsa itu, yang sebelum ini pernah dianjurkan di Kuala Lumpur menerusi kerjasama Pusat Pelancongan Islam (ITC), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
-Advertisement-
Dalam perkembangan berkaitan, pelancaran mural seni Islam pada ketinggian 180 meter di Menara Kuantan 188 turut memperkenalkan tarikan baharu kepada landskap pelancongan bandar raya Kuantan.
Mural tersebut menggabungkan seni khat Islam tradisional dengan pendekatan kontemporari menerusi kerjasama beberapa penggiat seni, termasuk Ketua Jabatan Seni Khat Yayasan Restu, Mohd Zulfikri Mohd Sobri, penggiat seni khat Pahang, Khairi Izat Amir serta pasukan kreatif Project ZeroSix.
WITC 2026 yang membawa tema Faith and Family Beyond Borders menghimpunkan lebih 150 peserta antarabangsa dari lebih 35 negara.
Penganjuran persidangan itu diharap dapat memperluas hubungan industri merentas negara, sekali gus meningkatkan daya tarikan Pahang sebagai destinasi pelancongan Islam di peringkat antarabangsa. – The Capital Post