ALOR SETAR 6 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Peningkatan had pembelian barangan bebas cukai kepada RM10,000 dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pemulihan sektor pelancongan serta pertumbuhan ekonomi Pulau Langkawi yang masih berusaha bangkit daripada kesan pandemik COVID-19.
Inisiatif kerajaan itu menerima sambutan positif daripada pelbagai pihak, termasuk pengusaha perkhidmatan feri dan persatuan pelancongan tempatan yang melihat langkah berkenaan mampu meningkatkan kuasa beli pengunjung serta menggalakkan lebih banyak perbelanjaan di pulau peranginan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Seri Iskandar Mohd Kaus berkata, peningkatan had berkenaan berpotensi menarik minat pelabur baharu untuk mengembangkan perniagaan bebas cukai di Langkawi.
Menurut beliau, langkah itu turut memperkukuh kedudukan Langkawi sebagai destinasi beli-belah pilihan bagi pelancong tempatan dan antarabangsa.
Beliau berkata, peluasan pengecualian duti import kepada lebih banyak produk keluaran Langkawi juga membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk meningkatkan daya saing serta memperluas pasaran perniagaan mereka.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Parlimen baru-baru ini mengumumkan kenaikan had pembelian barangan bebas cukai bagi Langkawi dan Labuan kepada RM10,000.
Kemudahan tersebut bagaimanapun tertakluk kepada syarat tempoh penginapan minimum selama 48 jam di kedua-dua pulau berkenaan.
Sementara itu, pengusaha feri Langkawi yang juga Pengurus Besar Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Dr Baharin Baharom berkata, inisiatif tersebut memberikan peluang lebih luas kepada Langkawi untuk berkembang sebagai destinasi pelancongan dan beli-belah.
-Advertisement-
Beliau berpandangan kenaikan had berkenaan mampu menarik lebih ramai pengunjung kerana mereka mempunyai ruang untuk berbelanja lebih banyak, sekali gus memberikan kesan positif kepada ekonomi setempat, khususnya peniaga dan usahawan tempatan.
Menurutnya, sebagai pulau bebas cukai pertama di Malaysia, Langkawi mempunyai rekod tersendiri dalam menyumbang pendapatan bernilai berbilion ringgit kepada ekonomi negara.
Dalam perkembangan sama, Ahli Jawatankuasa Persatuan Penggiat Industri Pelancongan Langkawi (PPIPL), Yasmiza Yum menyifatkan kenaikan had pembelian itu sebagai perkembangan positif yang boleh meningkatkan aliran tunai komuniti serta membantu perusahaan kecil dan sederhana.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pihak berkuasa perlu menyediakan penjelasan terperinci mengenai garis panduan dan kategori barangan bebas cukai yang dibenarkan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pelancong.
Katanya, sebelum ini terdapat pengunjung yang mempunyai kemampuan untuk berbelanja tetapi terpaksa mengehadkan pembelian kerana sekatan terhadap barangan tertentu, termasuk barangan elektrik yang mungkin perlu ditinggalkan atau dikenakan cukai ketika meninggalkan pulau berkenaan.
Justeru, beliau mencadangkan supaya senarai rasmi barangan yang dibenarkan disediakan untuk rujukan agensi pelancongan, pemandu pelancong dan pengusaha penginapan agar promosi pakej pelancongan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Pelaksanaan inisiatif itu diharap dapat memperkukuh daya tarikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama, selain membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti dan pemain industri tempatan – The Capital Post.