Dua Penerima Anugerah Tangan Emas Angkat Martabat TVET

Estimate Reading Time: 2 minutes

MELAKA 6 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Kejayaan dua penerima Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri mencerminkan keupayaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri negara.

Penerima kategori WorldSkills Malaysia Belia, Arrisa Nabiha Nor Hisham, 20, membuktikan bidang pengecatan kenderaan bukan hanya didominasi lelaki, malah turut mampu dikuasai wanita menerusi minat, komitmen dan latihan yang bersungguh-sungguh.

Beliau berkata minat terhadap bidang automotif mula berkembang apabila sering melihat bapanya melakukan kerja penyelenggaraan kereta sendiri, termasuk menggilap kenderaan dan menghasilkan salutan pelindung lampu.

Menurutnya, kejayaan dalam sesuatu bidang tidak ditentukan oleh jantina, sebaliknya bergantung kepada minat, kebolehan serta kesungguhan seseorang untuk memahami kemahiran yang dipelajari.

Arrisa yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik telah menamatkan latihan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam bidang pengecatan kenderaan di GiatMARA Jengka, Pahang, menerusi program selama sembilan bulan.

Tempoh latihan tersebut merangkumi enam bulan pembelajaran dan tiga bulan latihan industri. Sebelum mengikuti program berkenaan, beliau turut mempunyai pengalaman bekerja selama kira-kira enam bulan dalam bidang perincian kenderaan.

Beliau berkata bimbingan tenaga pengajar memainkan peranan penting dalam membantu menguasai kemahiran teknikal, khususnya penggunaan alat semburan cat atau spray gun.

Kini, Arrisa bekerja di sebuah syarikat dalam industri pengecatan di Seri Kembangan, Selangor.

Sementara itu, penerima anugerah bagi kategori WorldSkills Malaysia Pengajar, Mohd Raimi Masrom, 41, berkata pengalaman lebih lima tahun sebagai jurutera di sebuah syarikat semikonduktor di Muar, Johor menjadi kelebihan dalam tugasnya sebagai tenaga pengajar bidang mekatronik di ADTEC JTM Kampus Taiping, Perak.

Beliau yang telah berkhidmat selama 10 tahun dalam bidang pengajaran berkata pengalaman bekerja dalam industri membantunya menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan sebelum memasuki alam pekerjaan.

-Advertisement-

Pengalaman sebagai jurutera proses dan penyelenggaraan turut memberikan pendedahan langsung kepada beliau mengenai pengendalian serta penyelenggaraan mesin industri.

Mohd Raimi menggalakkan pelajar meneroka bidang mekatronik, khususnya dalam sektor makanan, semikonduktor serta minyak dan gas yang semakin bergantung kepada penggunaan mesin berteknologi tinggi dan sistem automasi.

Beliau berkata pengiktirafan yang diterima menjadi dorongan untuk terus melahirkan lebih ramai graduan dan belia berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi kehendak pasaran pekerjaan.

Selain itu, beliau menekankan kepentingan penguasaan kemahiran secara menyeluruh agar pelajar berupaya melaksanakan pelbagai tugasan teknikal apabila mula bekerja.

Mengulas persepsi masyarakat terhadap TVET, Mohd Raimi menegaskan bahawa bidang tersebut tidak sepatutnya dianggap sebagai pilihan kedua atau laluan khusus bagi individu yang kurang cemerlang dalam akademik.

Sebaliknya, TVET merupakan laluan strategik yang mampu menyediakan peluang kerjaya dan masa depan lebih baik kepada golongan belia.

Sebagai penerima Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri, Arrisa Nabiha dan Mohd Raimi masing-masing menerima wang tunai RM10,000, sijil penghargaan serta piala yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini semalam.

Kedua-dua penerima turut ditauliahkan dengan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dan kecemerlangan mereka dalam bidang kemahiran – The Capital Post