McDonald’s Malaysia Diiktiraf LZS Atas Komitmen Zakat

Estimate Reading Time: < 1 minute

SELANGOR 11 November 2026 (The Capital Post) – Komitmen McDonald’s Malaysia dalam menunaikan kewajipan zakat perniagaan terus mendapat pengiktirafan apabila Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd menerima sijil pengiktirafan daripada Lembaga Zakat Selangor (MAIS) bagi tahun 2026M / 1448H.

Pengiktirafan tersebut diberikan sebagai tanda penghargaan kepada syarikat berkenaan yang telah menunaikan zakat perniagaan kepada Lembaga Zakat Selangor bagi menyokong agenda kesejahteraan serta pembangunan golongan asnaf di negeri Selangor.

Restaurant General Manager (RGM) McDonald’s NKVE, Mohd Najib bin Mokhtar berkata, McDonald’s Malaysia sememangnya mempunyai rekod berterusan dalam menunaikan zakat perniagaan sebelum ini.

Menurut beliau, komitmen syarikat itu kini semakin berkembang apabila jumlah zakat yang ditunaikan telah melebihi RM1 juta, sekali gus membolehkan syarikat menerima pengiktirafan daripada Lembaga Zakat Selangor.

Beliau berkata pengiktirafan tersebut mencerminkan kesungguhan McDonald’s Malaysia dalam melaksanakan tanggungjawab korporat, selain menyumbang kepada usaha membantu golongan asnaf yang memerlukan.

Berdasarkan laporan yang diterbitkan pada November 2026, McDonald’s Malaysia menunaikan zakat korporat berjumlah RM2 juta bagi tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan zakat yang dibayar sejak 2017 mencecah RM16 juta.

-Advertisement-

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM300,000 disalurkan kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bagi tahun 2026.

Sebelum ini, Lembaga Zakat Selangor turut menerima sumbangan zakat perniagaan sebanyak RM300,000 daripada McDonald’s Malaysia bagi tahun 2025.

Selain pembayaran zakat, syarikat itu turut melaksanakan pelbagai inisiatif kemasyarakatan termasuk sumbangan barangan keperluan, hidangan percuma serta bantuan pendidikan kepada golongan yang memerlukan.

Pengiktirafan daripada Lembaga Zakat Selangor itu menjadi satu lagi bukti komitmen Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd dalam menunaikan tanggungjawab zakat perniagaan serta menyokong kesejahteraan masyarakat, khususnya golongan asnaf. – The Capital Post