JOHOR BAHRU 14 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menyeru pihak berkuasa, sektor swasta dan masyarakat supaya meneliti kesan pembangunan pusat data di Malaysia, terutama dari aspek kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan penduduk setempat.
Seri Paduka Baginda bertitah, penilaian tersebut perlu merangkumi penggunaan elektrik dan air yang tinggi, pemanfaatan tanah serta kesan operasi pusat data terhadap kehidupan masyarakat, termasuk gangguan bunyi bising dan pencahayaan yang berterusan sehingga waktu malam.
Titah itu disampaikan ketika Majlis Konvokesyen ke-70 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, hari ini, yang turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi universiti berkenaan.
Raja Zarith Sofiah, yang juga Canselor UTM, bertitah bahawa kemajuan teknologi perlu bergerak seiring dengan usaha memelihara kelestarian bumi, khususnya ketika aktiviti manusia terus memberikan kesan terhadap perubahan iklim, pencemaran, kehilangan biodiversiti dan kemerosotan sumber alam.
Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda menyeru masyarakat berilmu supaya memainkan peranan dalam menangani kerosakan alam semula jadi menerusi perubahan sikap serta peningkatan rasa tanggungjawab untuk menjaga bumi demi kepentingan generasi akan datang.
-Advertisement-
Baginda turut menegaskan bahawa teknologi kecerdasan buatan (AI) wajar dimanfaatkan bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat dan bukan hanya tertumpu kepada usaha memperoleh keuntungan ekonomi.
Sebagai universiti penyelidikan yang menerajui penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan pertama di Malaysia, UTM mempunyai tanggungjawab penting untuk memastikan pembangunan teknologi berpaksikan etika, integriti dan nilai kemanusiaan, titah Seri Paduka Baginda.
Raja Permaisuri Agong turut mengingatkan para graduan bahawa perkembangan pesat AI membuka peluang besar, namun pada masa sama membawa cabaran yang memerlukan mereka terus memperkukuh ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.
Majlis Konvokesyen ke-70 UTM yang berlangsung selama enam hari bermula hari ini hingga 19 November di Dewan Sultan Iskandar meraikan seramai 7,369 graduan daripada pelbagai peringkat pengajian menerusi 10 sesi penganugerahan. – The Capital Post